Aktiviti Menarik untuk Anda Jika Hanya ada Sehari di Kota Bharu
Jika anda berkunjung bersama ahli keluarga anda, anda pastinya ingin merancang percutian anda bagi memastikan percutian anda terisi dengan sempurna.

Sekurang-kurangnya, anda tidak perlulah menelaah dan meneliti setiap perkara yang terdapat di Kota Bharu bagi merancang perjalanan anda.
Di sini kami telah membantu anda dengan merancang perjalanan anda dalam masa sehari bersama keluarga anda agar percutian anda lebih terancang.
Bermula daripada Subuh
Selepas waktu subuh, anda bolehlah bersiap-siap dan pergi ke restoran yang menyediakan sarapan. Antara menu sarapan yang terkenal di Kota Bharu adalah Nasi Tumpang.
Antara restoran yang terkenal dengan sarapan pagi di Kota Bharu adalah Kopitiam Kita yang terletak di Taman Desa Jaya, Kota Bharu, Kelantan.
Restorannya kerap sesak jadi digalakkam supaya anda datang awal supaya anda tidak perlu menunggu lama untuk bersarapan.
Di Kopitiam Kita, antara menu yang popular adalah Nasi Tumpang, Roti Titab Special, serta Teh Tarik Mantul Mantab Betul.
Harga makanan di sini juga murah dan yang penting, saiz hidangannya juga sesuai untuk orang dewasa yang berbadan normal.
Selepas Sarapan
Selepas anda bersarapan, anda bolehlah berkunjung ke Muzium Istana Jahar.
Di sini, anda boleh melihat tinggalan-tinggalan masyarakat Melayu Kelantan pada zaman dahulu serta barangan istiadat Diraja Kelantan.
Buat anda yang tidak tahu, Muzium Istana Jahar merupakan Muzium Diraja Negeri Kelantan dan menempatkan pelbagai barangan Diraja daripada zaman dahulu hingga sekarang sebagai ingat-ingatan buat masyarakatnya.
Harga tiketnya juga murah di mana Dewasa adalah RM2 manakala kanak-kanak adalah RM1. Buat pengunjung yang tidak mempunyai myKad, harga tiketnya adalah RM4 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
Membeli Cenderamata
Di sebelah tengahari pula, anda bolehlah melawati Pasar Siti Khadijah.
Di sini, anda bolehlah membeli belah barangan cenderamata serta hadiah untuk dibawa pulang kepada sahabat handai, jiran tetangga, serta saudara-mara.
Di Pasar Siti Khadijah juga terdapat pelbagai makanan tradisional Kelantan seperti keropok lekor, akok, serta nasi kerabu.
Harganya juga berpatutan serta rasanya juga enak dan rasa asli Kelantan. Di sini juga anda boleh dapatkan pelbagai barangan yang menarik seperti parang, anak patung, kain batik, serta kain songket.
Jom Ke Pantai!
Di sebelah petang pula, anda bolehlah menikmati deruan ombak dan angin pantai di Pantai Cahaya Bulan. Sambil menikmati keindahan pantainya, anda bolehlah menikmati juadah terkenal di Pantai Cahaya Bulan iaitu Makanan Laut Celup Tepung.
Terdapat juga makanan-makanan lain yang terkenal di sepanjang Pantai Cahaya Bulan ini seperti Mee Ketam serta Cocktail Buah. Jika anda mempunyai anak-anak di bawah umur, mereka bolehlah berseronok di pantai sambil bermain layang-layang yang juga ada dijual di Pantai Cahaya Bulan.
Keadaan anginnya yang kuat amat sesuai untuk aktiviti menerbangkan layang-layang.
Selepas daripada itu, anda juga bolehlah melawati Taman Tengku Anis sambil menikmati pemandangan yang ada di situ. Di situ juga terdapat taman permainan buat anak-anak anda serta peralatan senaman buat anda.
Taman Tengku Anis juga dilengkapi trek larian buat anda yang suka bersenam bagi menjaga kesihatan anda terutama selepas seharian menikmati pelbagai hidangan yang lazat di Kota Bharu.
Makan Malam
Pada waktu malam, anda bolehlah melawati Wakaf Che Yeh. Di sini terdapat pelbagai gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan barangan seperti Pasar Siti Khadijah.
Bezanya, Wakaf Che Yeh pada waktu malam mempunyai banyak gerai makanan dan anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan panas serta kuih-muih pada harga yang berpatutan.
Buat anda yang mempunyai anak kecil, adalah digalakkan untuk membawa kereta sorong bayi kerana kawasan Wakaf Che Yeh amat besar dan dikhuatiri anak anda akan merengek kepenatan.
Kami berharap cadangan kami ini sedikit sebanyak akan membantu anda dalam membuat keputusan semasa mengunjungi Kota Bharu nanti. Semoga anda berseronok di Kota Bharu dan semoga anda mampu merancang perjalanan anda dengan sempurna.
Kalau nak ke Kota Bharu, semestinya memerlukan tempat tinggal. Jom book homestay anda di sini.