Mari Kenali Sejarah di Sebalik Monumen Terkenal Kota Bharu
Kota Bharu merupakan salah satu tempat yang menarik untuk ada sekeluarga membawa keluarga anda bercuti. Di sini, terdapat pelbagai tarikan yang menarik yang bersesuaian buat percutian keluarga.
Kota Bharu juga terkenal dengan sejarah dan kisahnya yang tersendiri. Ini adalah antara sejarah-sejarah Kota Bharu yang anda perlu tahu.

Istana Jahar
Terletak berhampiran Istana Balai Besar, Istana ini telah dibina oleh Sultan Muhammad II pada 1837. Akan tetapi, kemangkatan Sultan Muhammad II telah membuatkan pembinaan istana ini tertunda seketika sebelum disambung oleh Sultan Ahmad sehingga siap pada 1886.
Tujuan Sultan Muhammad II membina Istana ini adalah untuk mengurniakannya kepada cucundanya iaitu Long Kundur Bendahara, anakandanya Sultan Ahmad. Setelah Sultan Muhammad III (Long Kundur Bendahara) menaiki takhta, baginda bersemayam di istana ini dan Istana Balai Besar.
Istana ini pada asalnya tidak mempunyai nama sehingga pada tahun 1911 semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV selepas baginda pulang dari Singapura.
Istana ini diberi nama ‘Jahar’ sempena pepohon yang menghiasi perkarangan istana tersebut. Istana ini kemudiannya diberikan kepada anakanda Sultan Muhammad IV iaitu Tengku Ismail.
Selepas kemangkatan ayahandanya, Tengku Ismail bersemayam di istana ini dan tidak bersemayam di Istana Balai Besar seperti sultan-sultan sebelumnya.
Dipercayai, Tengku Ismail merupakan yang terakhir yang bersemayam di istana ini sebelum istana ini dijadikan Muzium Diraja oleh kerajaan negeri selepas Istana Balai Besar dijadikan kediaman rasmi sultan selepas tahun 1979.
Masjid al-Muhammadi
Masjid al-Muhammadi telah dibina oleh Sultan Muhammad II pada zaman kesultanannya menggunakan kayu-kayu terpilih. Masjid ini telah menjadi pusat penyebaran dakwah terbesar di Kota Bharu oleh beberapa ulamak terkenal.
Disebabkan ini, Kelantan telah mendapatkan gelaran “Serambi Mekah” dan terkenal di seluruh nusantara.
Pada asalnya, masjid ini dikenali sebagai ‘Masjid Besar Kota Bharu’ oleh penduduk setempat dan hanyalah sebuah masjid kecil sebelum diubahsuai oleh KDYMM Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada tahun 1922.
Antara pengubahsuaian yang dijalankan termasuklah memperbesarkan masjid ini serta menukarkan struktur masjid ini daripada kayu-kayan kepada konkrit. Pengubahsuaian telah dilakukan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1959, 1968, 1976, dan 1987.
Kini, masjid ini berkeluasan 10,600 kaki persegi dan mampu memuatkan sehingga 2,400 para jemaah dalam satu masa.
Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf
Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf atau dikenali sebagai ‘Balai Getam Guri’ oleh penduduk setempat merupakan salah satu tarikan utama di Kota Bharu yang juga terletak di tengah-tengah bandarayanya.
Berdekatan dengan Istana Balai Besar, Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf menampilkan pelbagai keunikannya tersendiri apabila menampilkan pelbagai kraftangan buatan tempatan.
Di sini juga istimewa kerana terkenal dengan aktiviti kraf yang boleh dinikmati para pengunjung. Antaranya termasuklah anyaman tikar mengkuang, tenunan kain songket, dan tekap kain batik.
Selain itu, para pengunjung juga boleh membeli barang-barang unik disini termasuklah gelang mutiara air tawar, perabot kayu, dan juga tasbih wangi.
Bagai para pengunjung yang berkunjung bersama keluarga, Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf adalah antara destinasi terbaik untuk membawa keluarga anda kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama keluarga sekaligus mengingatkan generasi seterusnya tentang budaya dan keunikan negara kita tersendiri.
Makam D’Raja Langgar
Terletak bersebalahan dengan Masjid Langgar, makam ini menempatkan kubur Almarhum Sultan-sultan Kelantan terdahulu bersama keluarga-keluarga terdekatnya yang lain.
Pengunjung yang datang ke sini kebiasaannya adalah bertujuan penghormatan atau ziarah. Menurut penduduk setempat, pelawat yang ingin menziarahi makam ini perlulah berpakaian sopan dan menjaga adab menziarahi kubur.
Antara makam yang para pengunjung boleh ziarah disini adalah Sultan Kelantan yang pertama iaitu Long Yunus Long Sulaiman sehingga kepada Ayahandanya Sultan Kelantan kini iaitu Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.
Menarik bukan? Kalau anda berada di Kota Bharu, tempah terus homestay anda di sini.