10 Jenis Makanan Sedap yang Harus Anda Cuba di Kota Bharu
Terasa lapar? Jom ketahui 10 jenis makanan sedap yang harus anda cuba di Kota Bharu. Semuanya best!
Segala jenis makanan dari manis, berkuah, mee, nasi, kuih muih dan pelbagai lagi, anda wajib mencuba makanan di Kota Bharu yang mungkin anda tidak dapat merasa di negeri lain. Kami senaraikan 10 jenis makanan yang boleh terokai.
Sememangnya banyak pilihan yang ada dan sekiranya anda hanya menetap beberap hari di Kota Bharu, memang tak cukup!
Mee celup
Terkenal dengan kelainan kuah supnya yang mempunyai rasa masin dan masam tersendiri, di dalam kuah mee celup itu ada dicampur kacang, sedikit sayur dan juga cili api untuk menambah kepedasannya. Anda boleh pilih jenis mee yang anda inginkan seperti bihun atau mee kuning.

Nasi tumpang
Lebih dikenali sebagai Nasi Tumpe dengan dialek Kelantan, nasi tumpang merupakan nasi dan pelbagai jenis lauk yang dilapis dengan lauk yang berbeza bagi setiap lapisan nasi dan dibalut dengan daun pisang seperti bentuk kon.

Antara lauk yang digunakan adalah sambal udang, serunding, gulai lemak ayam dan sayur sesuai untuk sarapan pagi oleh kebanyakan rakyat Kelantan.
Etok salai
Bukanlah lala atau kerang tetapi tetap bercengkerang dan lebih kecil saiznya dan rasanya lemak masin, berbau wangi serai dan sedap dimakan panas-panas ketika cuaca sejuk selepas hujan.

Cengkerangnya boleh jadi lebih keras daripada kerang tetapi masih boleh dibuka dengan menggunakan gigi untuk membuka belahannya.
Nasi kerabu
Jika sudah sampai di negeri asalnya, wajiblah cuba rasa resepi aslinya di Kota Bharu dan di sekitar negeri Kelantan. Boleh juga cuba 3 jenis nasi kerabu yang berbeza iaitu nasi kerabu hitam (biru), putih dan kuning.

Warna tersebut diekstrak daripada bunga telang (biru) dan kunyi (warna kuning). Setiap 3 jenis nasi kerabu ini juga mempunyai sambal dan ulamnya.
Laksam
Pada setiap kedai sarapan atau kedai makan yang anda kunjungi pasti akan jumpa dengan laksam termasuklah dimana-mana pasar yang menjual makanan pagi.

Sebuah hidangan yang dilengkapi dengan mee gulung tepung beras yang dipotong bersama kuah lemak manis dan kaya dengan isi ikan serta didatangkan dengan sedikit cili untuk menambah kepedasan kuah.
Maggi Ketam Nipah
Antara menu wajib cuba kalau sudah jejakkan kai di Kota Bharu, Maggi Ketam yang tidak sama seperti maggi biasa yang anda selalu makan kerana hidangan ini mempunyai rasa manis ketam dan aroma seafood yang kuat.

Paling penting anda akan dapat makan dengan Ketam dan makanan laut lain yang sangat segar.
Ayam Percik Kelantan
Berbeza dengan ayam percik kacang yang biasa boleh didapati di pasar malam, rasa ayam percik kelantan atau kuah putih memang sangat lemak dan ‘smoky’ dengan rasa bau arang yang terbakar.

Ketupat sotong
Kalau anda perasan, ketupat sotong Kelantan agak berbeza dengan ketupat sotong Terengganu dari segi warnanya, ini kerana perbezaan jenis gula yang digunakan iaitu gula melaka dan gula biasa sahaja. Konsepnya mudah iaitu pulut yang dimasukkan kedalam badan sotong dan dimasak dalam santan bersama gula melaka dan bahan herba lain.

Pulut Bakar
Bentuknya bulat dan leper dibalut sera dibakar dengan daun pisang. Kebiasaannya ada beberapa jenis samada kosong atau mempunyai inti seperti sambal atau kelapa sira manis.

Pulut bakar merupakan antara hidangan sarapan pagi yang menjadi kegemaran rakyat Kelantan yang anda wajib cuba.
Kuih-kuih manis
Negeri ini terkenal dengan citarasa manis, antara kuih yang anda boleh cuba adalah kuih akok, lompat tikam, badak berendam, nekbat sira, jala emas, che mek molek, puding raja dan pelbagai lagi.

Kebiasannya pelbagai jenis kuih ini boleh juga didapati di Pasar Siti Khadijah di aras bawah yang menjual segala jenis kuih sarapan pagi.
Terokalah Kota Bharu yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang mempunyai rasa yang tersendiri dan sangat sedap kerana negeri ini amat mementingkan resepi turun temurun. Jangan malu untuk bertanya nama kuih atau mungkin rasa kuih tersebut dengan peniaga ya.
Selamat mencuba! Sekiranya anda nak cari tempat tinggal, tempah terus dengan kami di sini.