Tempat pelancongan menarik di Kota Bharu

10 Barang yang Harus Anda Beli di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu

Tak sah kalau melawat Kota Bharu tetapi tidak bertandang ke pasar ini. Di sini kami kongsikan 10 barang yang harus anda beli di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu.

Keunikan pasar ini jelas terserlah apabila pasar ini diusahakan majoritinya oleh kaum wanita, dan ini telah menjadi satu identiti kepada pasar ini. Pasar Siti Khadijah ini mempunyai tiga tingkat dan menjual pelbagai jenis barangan oleh peniaga daripada berpuluh-puluh kedai di bagunan tersebut.

Walaupun terdapat banyak kedai di sini, kebanyakan barangan yang dijual oleh peniaga di sini adalah hampir sama. Justeru, mari kami kongsikan kepada anda 10 Barang yang Harus Anda Beli di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu.

Beras Siam

Beras siam terutamanya amatlah popular di kalangan penduduk negeri Kelantan. Lantaran itu, beras siam ini boleh didapati dijual oleh ramai peniaga di pasar ini juga. Beras siam mempunyai rasa yang lebih sedap daripada beras tempatan lebih-lebih lagi buat penggemar beras tersebut.

Oleh itu, janganlah lepaskan peluang untuk mendapatkan beras siam di Pasar Siti Khadijah, seperti Beras Siam Cap Burung Serindit yang juga menjadi antara kegemaran di sini.

Kuih Muih Tradisional Kelantan

Keunikan tradisi makanan di negeri Kelantan termasuk pelbagai jenis kuih muih yang enak dan manis-manis belaka. Di pasar ini, boleh didapati ramai peniaga yang menjual pelbagai jenis juadah kuih muih yang enak ini.

Misalnya, kuih taik itik, jala emas, buah tanjung, sri kaya dan sebagainya. Juadah yang terhidang ini pastinya membuatkan anda terliur ingin mencuba, dan boleh dibuat snek dalam perjalanan.

Makanan Kering

Keropok segera, dodol, serunding, kerepek dan pelbagai keropok merupakan antara pilihan pelancong yang melawat Pasar Siti Khadijah ini untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada keluarga dan rakan-rakan.

Sikap peramah peniaga-peniaga di sini terutamanya akan mempelawa pelawat untuk mencuba makanan yang ditawarkan pastinya akan membuatkan kita sedikit sebanyak terbeli makanan-makanan enak yang ditawarkan walaupun mungkin tiada dalam senarai untuk dibeli yang asal.

Makanan kering ini biasanya boleh tahan lama, justeru menjadikannya ideal untuk dibawa pulang ke kampung halaman setelah lawatan ke pasar ini.

Barangan Kraftangan

Kekayaan warisan negeri Kelantan bukan sahaja pada juadah yang menyelerakan sahaja malahan juga daripada sudut kesenian mereka. Pelbagai barangan kraftangan yang unik boleh didapati di pasar ini, seperti barangan anyaman, barangan ukiran dan sebagainya.

Anda boleh mendapatkan barangan anyaman yang cantik terdiri daripada pelbagai corak dan motif seperti beg anyam dan bakul-bakul. Selain itu, sabit dan parang juga boleh didapati dijual di pasar ini, seperti rekaan biasa dan juga yang diukir khas boleh didapati di sini.

Kain Batik

Antara yang sinonim di Pantai Timur juga ialah kain batik. Di Pasar Siti Khadijah ini, kain batik yang dicanting dengan pelbagai motif dan berkualiti tinggi boleh didapati di sini, dan sekiranya ditawar dengan baik boleh didapati dengan harga yang amat berbaloi.

Hal ini menjadikan kain batik di sini adalah antara tumpuan pengunjung. Biasanya harga boleh dikurangkan oleh peniaga sekiranya dibeli dengan kuantiti yang lebih banyak.

Pakaian Wanita

Pasar Siti Khadijah ini sudah sinonim sebagai syurga kaum hawa, dan memang tidak dapat dinafikan. Terdapat pelbagai jenis pakaian wanita terutamanya yang dijual di sini merangkumi kain ela, tudung bawal, kain sarung dan pelbagai lagi yang pastinya akan membuatkan pengunjung wanita rambang mata untuk membuat pilihan.

Keunikan di sini berbanding di tempat lain ialah disebabkan terdapat banyak peniaga yang menjual barangan ini, banyak pilihan ditawarkan kepada pengunjung yang datang bagi setiap keperluan dan kemahuan.

Telekung

Telekung merupakan salah satu barangan yang harus anda beli sekiranya melawat Pasar Siti Khadijah ini, yang boleh dijadikan untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai buah tangan buat keluarga dan rakan.

Pelbagai pilihan ditawarkan merangkumi corak dan warna yang pelbagai menjadikan pasar ini tempat yang best untuk memilih telekung kesukaan daripada pilihan yang pelabagai. Pastinya anda akan dapat mencari telekung kesukaan anda di sini.

Sejadah

Selain daripada pelbagai barangan yang dijual, pengunjung juga dapat mencari pelbagai jenis sejadah yang ditawarkan di sini. Yang menariknya, pengunjung dapat membuat pilihan daripada jenis-jenis sejadah yang ditawarkan seperti mengikut warna pilihan, corak ataupun materialnya.

Sesetengah orang yang agak memilih untuk jenis sejadah digunakan sewaktu solat pasti dapat membuat pilihan yang digemari di sini.

Barangan Dapur

Barangan dapur seperti kuali, periuk tembaga, periuk kukus, acuan kuih-muih dan lain-lain boleh didapati di Pasar Siti Khadijah ini. Kelengkapan seperti acuan kuih terutamanya kuih tradisional yang agak sukar untuk didapati di luar boleh dibeli di sini.

Terdapat juga barangan plastik seperti bekas nasi dan alatan dapur boleh didapati. Kebiasaannya pelanggan mengesyorkan untuk membeli dengan peniaga yang ramah kerana lebih mudah untuk berunding harga agar kedua-dua peniaga dan pembeli berpuas hati.

Barangan Perkahwinan

Kepada yang mencari barangan perkahwinan terutamanya untuk keperluan majlis dan hantaran, bolehlah berkunjung ke pasar ini. Contohnya, bunga hiasan dan barangan hantaran seperti sampin boleh didapati di sini.

Bukan itu sahaja, dulang-dulang hantaran seperti untuk mas kahwin, hantaran cincin dan tepak sirih junjung serta bunga rampai turut didapati di sini. Ternyatalah Pasar Siti Khadijah menjadi salah satu lokasi tumpuan untuk melengkapkan keperluan barangan perkahwinan.

Telah kami kongsikan 10 barang yang harus anda beli ketika melawat Pasar Siti Khadijah ini. Tips daripada kami adalah untuk membandingkan harga barangan yang dijual dan cuba tawar-menawar untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih menarik.

Sesetengah barangan seperti makanan kering boleh didapati pada harga yang lebih berbaloi jika dibeli secara borong. Selamat membeli-belah!

Kalau dah sampai Kota Bharu tu, tempah terus homestay anda dengan kami di sini.

You don't have permission to register